“Tidak dinafikan penyebaran gambar itu membuatkan saya kecewa dan terkilan. Namun, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana gambar itu dimuat naik oleh rakan baik saya sendiri. Gambar itu sebenarnya sudah lama dirakam, cuma baru-baru ini sahaja ia dimuat naik di laman Facebook milik rakan saya itu. Dia pun tidak sangka perkara ini boleh terjadi kerana dia bukan berketurunan Melayu dan tidak begitu memahami dunia artis tempatan. Dia sudah memohon maaf dan saya pun memahami situasi dia. Saya terima kejadian ini sebagai dugaan,” ujar Lana yang dihubungi GUA sebentar tadi.
Mengulas tentang penerimaan keluarga, Lana mengakui dia dimarahi teruk oleh keluarganya. Bagaimanapun, baik ibu mahupun bapanya tidak meletakkan kata putus supaya dia berhenti berlakon.
“Ibu bapa mana yang tidak marah jika lihat anaknya begitu. Ibu bapa saya terlalu marah bila melihat foto-foto tersebut. Mereka membebel kepada saya. Cuma mereka tidak pukul saya macam budak kecil. Yelah, saya pun sudah dewasa dan boleh berfikir sendiri. Takkan mereka hendak ikat tangan saya pulak? Jadi, sebagai orang tua, mereka telah beri nasihat yang sepatutnya kepada saya. Saya tahu perkara ini bukan sahaja menjejaskan nama baik saya, tetapi nama baik keluarga saya juga. Saya sudah mohon maaf kepada mereka. Saya akui ini kesilapan saya dan akan cuba sebaik mungkin untuk tidak mengulanginya di kemudian hari,” tambah Lana yang berbikini bra, berskirt pendek hitam dan berpelukan dengan seorang lelaki dalam foto-foto yang tersebar meluas itu.
Dalam masa yang sama, Lana juga memaklumkan bahawa lelaki yang berdampingannya dengannya itu hanyalah seorang teman rapat yang sudah lama dikenalinya. Malah, lelaki itu jugalah yang memuat naik semua foto-foto percutiaannya bersama rakan-rakan di Bali itu.
Sementara itu, Lana turut menafikan dia sebenarnya bukan mencari publisiti murahan menerusi gosip negatif ini. Jelasnya, dia sebenarnya rimas apabila orang lebih suka bercakap tentang perkara lain berbanding lakonannya.
“Saya rasa cerita-cerita negatif tentang penampilan saya lebih banyak diperkatakan daripada cerita-cerita lakonan saya. Saya sudah rimas dan bosan. Memang saya tidak banyak berlakon kerana lakonan hanyalah minat saya. Saya ada bisnes sendiri yang perlu diuruskan. Kalau orang kata saya cuba mencari publisiti murahan untuk naikkan nama, saya nafikan. Saya tidak perlukan buat begini semata-mata mahu popular. Sejujurnya, saya sudah malas melayan perkara remeh-temeh ini. Kalau dilayan, ia tidak akan berkesudahan,” ujar Lana.
Ketika ini Lana sedang sedang menjalani penggambaran drama bersiri berjudul ‘Takdir Qismah’ untuk ditayangkan di TV3 pada Ramadhan ini. Menurut Lana, kali ini dia membawakan watak yang cukup berbeza daripada penampilannya sebelum ini. Tambahnya, dia percaya lakonannya kali ini dapat membuktikan kepada penerbit mahupun penonton bahawa dia boleh menggalas watak yang lebih berat, selain sebagai penggoda.
No comments:
Post a Comment